01 March, 2008

KENAPA SAYA MENULIS

Dengan nama Allah s.w.t. Yang Pemurah lagi Maha Mengasihani. Salam dan selawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarganya.

Pada ruangan yang terbatas ini saya menulis atas keperluan yang mendesak untuk menuntut keadilan bagi masyarakat Pulau Duyung terhadap mana-mana pihak yang diTakdirkan oleh Allah s.w.t. untuk menerajui Negeri Terengganu bagi tempoh lima tahun yang akan datang (selagi dunia ini masih dikekalkan mengikut KehendakNya). Di sini, saya tidak ingin menyelebelahi mana-mana pihak dalam persengketaan merebut kuasa pemerintahan dalam musim ‘Pilihanraya ke-12’ ini. Bukan menjadi niat dan tujuan saya untuk berkempen bagi mana-mana calon atau parti. Saya menulis hanya sekadar menuntut untuk dipulihkan maruah serta nama baik masyarakat Pulau Duyung sebagaimana yang telah diwarisi daripada zaman Tok Syeikh Duyung yang mana saya abadikan atas helaian kertas-kertas ini untuk menjadi satu peringatan akan sebuah kisah menyayat hati masyarakat Pulau Duyung yang tidak tergambar oleh kata-kata.

Manusia itu telah diberikan akan akal serta fikiran olehNya untuk menimbangkan serta memilih mana yang baik dan yang buruk sesuai dengan konsep demokrasi itu sendiri maka saya menyeru masyarakat Islam di Pulau Duyung dan di Negeri Terengganu untuk memilih jalan serta laluan terbaik bagi menegakkan Islam di muka bumi Allah di Negeri Terengganu ini. Sesungguhnya junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. (sebagai RahmatNya bagi sekian alam) telah diutuskan oleh Allah s.w.t. hanya untuk menyampaikan agama Islam yang diRedhai Allah s.w.t. Baginda hanya diutuskan untuk memberi peringatan kepada orang ramai dan tidak pernah memaksa orang ramai dalam membuat pilihan mereka sendiri.

SEJARAH WARISAN TOK SYEIKH DUYUNG

Nama sebenar Tok Syeikh Duyung ialah Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Muhamad Amin. Ayah beliau, Haji Wan Muhamad Amin bin Wan Yaakub, lebih akrab dipanggil Tok Syeikh Qadi, juga adalah seorang ulama asal Patani. Tok Syeikh Duyung telah dilahirkan di Kampung Chabang Tiga, Patani pada tahun 1802 Masihi. Ramai orang yang menyangkakan bahawa kedatangan para ulama dari Patani merupakan warga asing ke bumi Negeri Terengganu. Yang mereka tidak mengetahui ialah bahawa Negeri Terengganu itu sendiri adalah merupakan sebahagian daripada jajahan takluk Kerajaan Patani Purba sebelum kerajaan tersebut kalah dalam peperangan dengan Siam. Maka kedatangan ulama-ulama daripada Patani itu tak ubah ‘seperti keris yang pulang ke gagang’. Neng Rogayah umpamanya iaitu isteri kepada Sultan Zainal Abidin I adalah adik kepada Mas Chayam iaitu Raja kepada Kerajaan Patani Purba tersebut (ketika itu Rajanya perempuan).

Tok Syeikh Duyung mendapat pendidikan di dalam bidang Tasawuf, Hadith, Fiqh dan Usuluddin di Mekah dan Terengganu sendiri. Kemudian setelah tamat pengajian beliau telah mengajar di dalam bidang Fiqh, Hadith, Tafsir dan Tasawuf. Kerana tempat mengajarnya di Pulau Duyung, maka lama-kelamaan melekatlah namanya menjadi "Tok Syeikh Duyung". Pondoknya semakin lama semakin ramai didatangi pelajar, jauh dan dekat. Di antara murid-murid beliau yang terkenal ialah Baginda Omar, Sultan Zainal Abidin III, Engku Sayid Paloh, Haji Omar Duyung Besar, Haji Abdul Hamid Nerus, Tuan Baru Petal Bubus, Haji Musa Alim, Che Man Gudang, dan Haji Wan Mohammad bin Wan Abdullah, anaknya. Baginda Omar dan Sultan Zainal Abidin III sendiri pergi ke Duyung mempelajari ilmu agama kepada beliau dan bukan beliau dipanggil ke istana mengajar baginda. Ini ialah kerana sudah menjadi suatu perkara biasa bahawa adalah kewajipan murid mendapatkan guru dan bukan guru mencari murid.

Kerana ketokohannya, Tok Syeikh Duyung kemudiannya dilantik menjadi Mufti Kerajaan Negeri Terengganu menggantikan gurunya Syeikh Abdul Kadir Bukit Bayas yang meninggal dunia. (Syeikh Abdul Kadir Bukit Bayas mempunyai pertalian keluarga yang rapat dengan Tok Syeikh Duyung dan telah dilantik menjadi Mufti pertama Negeri Terengganu). Sepanjang hidupnya, Tok Syeikh Duyung sempat menjadi Mufti kepada tiga orang Sultan iaitu Baginda Sultan Omar, Sultan Ahmad Syah II dan Sultan Zainal Abidin III. Semasa menjadi Mufti, khidmatnya sebagai penasihat agama kepada Sultan sangat terserlah. Selain itu, pengaruhnya dalam bidang pentadbiran negeri Terengganu juga besar. Dalam hal mengeluarkan sesuatu hukum atau fatwa Tok Syeikh Duyung sentiasa berpandukan aI-Quran dan Hadis di samping merujuk kepada kitab-kitab agama yang masyhur.

Ketokohan beliau juga menyebabkan negeri Trengganu terkenal di seluruh Nusantara pada masa itu dan Pulau Duyung di gelar 'Lidah Negeri Terengganu'. Kerana pada masa itu Tok Syeikh Duyung merupakan tempat segala pertanyaan terakhir mengenai Hukum Syarak terutama mengenai Perundangan Islam. Pernah ulama-ulama dari Indonesia bertanya mengenai satu-satu hukum agama kepada beliau. Malah Engku Sayid Paloh yang menjadi muridnya yang disayangi tidak pernah mengenepikan gurunya terutama mengenai masalah Perundangan Islam.

Tok Syeikh Duyung juga merupakan guru agama yang sangat dihormati oleh Baginda Omar dan lebih-lebih lagi Sultan Zainal Abidin III. Bahkan kedua-dua orang sultan ini sentiasa mendampingi diri mereka dengan Tok Syeikh Duyung, terutama apabila beliau dilantik menjadi Mufti kepada baginda berdua. Sultan Zainal Abidin III telah mengurniakan gelaran "Syeikhul Ulama" (Ketua bagi orang-orang yang berilmu) kepadanya dan "Syeikhul Islam" (Ketua orang-orang Islam) kepada Engku Sayid Paloh.

Tok Syeikh Duyung telah meninggal dunia di rumahnya di Duyung Kecil pada 12 Jamadil Akhir 1306 Hijrah bersamaan Februari 1889. Baginda Sultan Zainal Abidin III telah berangkat sendiri ke Duyung Kecil menziarahi jenazah gurunya. Baginda sendiri telah turut bersembahyang jenazah dan memerintah supaya jenazah Tok Syeikh Duyung diusung dari Duyung Kecil melalui hadapan istana untuk diberi penghormatan terakhir oleh baginda, pembesar-pembesar negeri dan kerabat-kerabat diraja sebelum dikebumikan di tanah Perkuburan Syeikh Ibrahim, Kuala Terengganu. Kematiannya juga menyebabkan baginda sendiri merasa satu kehilangan kepada diri sendiri dan rakyat negeri Terengganu. Engku Sayid Paloh sendiri mengakui ketokohannya dan setelah mendapat berita kematiannya beliau mengeluh "Hilang sudah kepala santan (orang yang paling berilmu) Negeri Terengganu" dan terus berkejar ke Duyung Kecil.

Setelah beliau meninggal dunia, Berkat Kurnia Allah s.w.t. mereka-mereka yang berketurunan daripada Tok Syeikh Duyung meneruskan usaha beliau dan dilantik memegang jawatan Mufti. Mereka yang dimaksudkan ialah:-


1. Wan Muhammad bin Haji Wan Abdullah (anaknya) telah dilantik menjadi Mufti menggantikan beliau. Haji Wan Muhammad juga merupakan guru agama kepada Sultan Zainal Abidin III dantelah dikurniakan gelaran "Syeikhul Ulama" kemudiannya.

2. Wan Muhamad Salleh (Tidak sempat diberi gelaran apa-apa kerana meninggal dunia)

3. Wan Abdul Manan Bin Wan Yaacob (Dato’ Indera Guru)

PENCEROBOHAN TERHADAP PULAU DUYUNG

Apa yang saya maksudkan dengan pencerobohan terhadap Pulau Duyung ialah belum ada sebelum ini dalam sejarah Pulau Duyung mana-mana pihak yang menjadikan Pulau Duyung tempat bersuka-suka selain ianya menjadi tempat pengajian agama Islam dan untuk tujuan berdakwah. Pencerobohan yang dinamakan sebagai pembangunan di bawah nama ‘Monsoon Cup’ dan ‘Kelab Teluk Warisan’ seolah-olah ingin menenggelamkan sejarah keagamaan warisan Tok Syeikh Duyung dan kesucian Pulau Duyung sebagai bumi di mana sejarah Islam bertapak kukuh. Adakah pihak Kerajaan Arab Saudi berkemungkinan mengambil langkah yang sama untuk mendirikan tempat bersuka-suka di tengah-tengah Kota Mekah ataupun Kota Madinah?

‘Tidak pernah terlintas, Tidak pernah temimpi, Mimpi Ngeri menjadi kenyataan’. Sejak zaman-berzaman lamanya daripada masa Tok Syeikh Duyung lagi, belum pernah ada mana-mana pihak yang menceroboh kesucian Pulau Duyung. Walaupun semasa penjajahan pihak Jepun dan British mahupun semasa zaman pihak Komunis (yang memburu talibarut Jepun) tidak pernah mereka mengapa-gapakan penduduk Pulau Duyung. Jadi betul kata seorang pemimpin tersohol tanahair yang mangatakan bahawa ia akan menjadikan Negeri Terengganu lain dari yang lain dan yang belum pernah terbayang oleh masyarakatnya. Dan tepat sekali kalau mereka kata ‘Kata di Kota, Janji Terlaksana’ sebab mereka telah berjaya memperlakukan Pulau Duyung sebagaimana yang tidak dapat dilakukan oleh pihak Jepun dan British mahupun oleh pihak Komunis sebelum ini.

Pada zaman kezaliman tentera Jepun, belum pernah ada mana-mana kaum lelakinya yang diambil dari Pulau Duyung untuk membina jalan kereta-api maut di Burma sebagaimana yang Jepun sewenang-wenang perlakukan kepada penduduk tempatan Negeri Terengganu dan tempat-tempat lain seluruh Malaya ketika itu. Malahan kaum wanita di Pulau Duyung juga tidak diganggu atau diusik oleh tentera Jepun yang sering dikatakan sebagai kaki perempuan yang sering menculik kaum wanita untuk dijadikan alat memuaskan nafsu mereka. Di bawah kuasa British juga masyarakat Pulau Duyung tidak diganggu gugat dan mereka bebas menjalani pengajian agama Islam dan kerja-kerja ibadah. Walau pada masa zaman keganasan tentera Komunis iaitu sejurus selepas Jepun kalah perang, penduduk Pulau Duyung tidak pernah diganggu. Komunis telah banyak memburu dan menangkap ramai rakyat tempatan Negeri Terengganu untuk dibicarakan dan dibunuh sekiranya mereka dapati salah ketika itu. Namun dalam keganasan tentera Komunis itu, Pulau Duyung tidak pernah diganggu dan masyarakatnya tidak diusik atau di apa-apakan.

Tercemar ialah nama baik dan maruah masyarakat Pulau Duyung yang selama ini hidup dalam keadaan aman damai. Biar pun sesetengah pihak yang mendakwa diri mereka menaikkan nama Pulau Duyung keseluruh dunia tetapi atas landasan apa? Penduduk Pulau Duyung tidak pernah menentang pembangunan asalkan pembangunan tersebut mencontohi warisan keagamaan dan bukannya ‘Kelab Teluk Warisan’. Sekiranya dapat, untuk dilaksanakan sebuah ‘Kota Tamadun Islam Duyung’ dimana dapat dibina pusat-pusat pengajian agama Islam, stadium terbuka dimana ayat-ayat suci Al-Quran dapat diperdengarkan dan berkumandang (sampai ke daerah-daerah berdekatan seperti di Tanjung, Pulau Kambing dll) di udara, pusat-pusat dakwah Islamiyah, Resort Islam tulen dan seribu satu macam lagi prasarana-prasarana yang bolehkan difikirkan oleh ulul-ulul kebab pemerintah hari ini dan bukannya ‘Kota Tamadun Islam’ untuk didirikan rumah-rumah Allah yang kecil molek untuk dipertontonkan dan yang mana hasilnya dikutip oleh pihak-pihak tertentu.

‘Kelab Teluk Warisan’ tidak pernah di-istiharkan oleh pihak kerajaan sebagai Resort Islam sekiranya mereka benar-benar berniat untuk menegakkan Islam yang mana pihak berwajib boleh mengenakan larangan terhadap judi, arak dan pelacuran. Mengapa penduduk tempatan Pulau Duyung langsung tidak dibenarkan untuk mendekati Resort tersebut sekiranya tiada apa untuk disembunyikan? Nama ‘Warisan’ yang digunakan tidak sesekali mencerminkan warisan keagamaan warisan Tok Syeikh Duyung kerana ianya hanya menjadi pusat komersial bagi menghibur warga asing di bawah nama ‘Monsoon Cup’.

Mungkin ramai masyarakat di Negeri Terengganu yang tidak mengetahui bahawa sejarah Pulau Wan Man pernah melalui sejarah gelap iaitu pada satu masa dahulunya dimana pulau tersebut telah menjadi tumpuan pesalah laku untuk membuang acak dan tempat tumpuan maksiat dimana pesalah laku membawa perempuan bagi tujuan tertentu mereka. Tempat itu pun tidak didiami orang kerana air yang akan melimpahi pulau tersebut pada masa-masa tertentu kecuali terdapat kebun buah-buahan oleh pemilek-pemileknya. Saya tidak hairan sekiranya akan ada pihak yang akan marah dari kata-kata saya ini namun ini adalah hakikatnya. Jadi apa yang berlaku pada hari ini boleh dikatakan orang Terengganu sebagai ‘Terbalik Hawa’ iaitu cerita sudah menjadi terbalik. Tempat yang peristiwa sejarahnya gelap dijadikan sebuah kota atas nama ‘Islam’ dan tempat dimana sejarah agama Islam kuat bertapak pula dijadikan sebagai tempat ‘bersuka-suka’ demi mengejar wang ringgit.

Saya tidak berasa hairan sekiranya berlaku pencerobohan di bumi Palestine kerana pesalah lakunya adalah orang bukan Islam yang tidak bertamadun tetapi ada diantara kita yang mengaku diri kita sebagai orang Islam tetapi berani mencerobohi sesama orang-orang Islam tapi pada masa yang sama takut kepada yang bukan Islam. Kita yang selama ini diperbudakkan tapi bukankah kini kita kembali untuk memperbudakkan? Kita yang sebelum ini ditindas tapi bukankah kita kini kembali untuk menindas? Kita yang selama ini dijajah tapi bukankah kini kita kembali sebagai penjajah? Kita yang selama ini menuduh orang mencuri tapi bukankah kita yang mencuri?

SAIKOLOGI

Rata-rata pada hari ini rakyat ditakut-takutkan dengan kemunduran dan kemiskinan yang akan berlaku sekiranya sesebuah negeri atau negara ini diperintah oleh parti pihak pembangkang. Persoalan kita, mengapakah perkara ini harus berlaku sekiranya wang dan peruntukan itu adalah hak rakyat maka seharusnyalah dikembalikan semula kepada rakyat walaupun apa parti lain sekali pun yang memerintah? Sekiranya tindak-tanduk kita benar dan ikhlas, tidak perlu lagi cara-cara menyekat bantuan atau pertolongan kepada mereka yang berhak walaupun orang itu dari parti yang dimusuhi kerana anak-anaknya yang mungkin masih kecil itu kebiasaannya tidak mungkin berfahaman apa-apa. Jadi mengapa pula ‘Marahkan Pijat Kelambu Pula Dibakar’?

Rasululullah s.a.w. sendiri sebagai contoh teladan yang terbaik tidak perlu memaksa orang bukan Islam untuk memeluk Islam namun berduyun-duyun orang telah masuk Islam kerana melihatkan akhlak serta keadilan yang telah ditunjukkan oleh Baginda s.a.w. Dalam Perang Shiffin, Imam Ali Bin Abu Thalib r.a. tetap telah berlaku adil terhadap tentera Umaiyah walaupun menjadi musuhnya dengan memberikan mereka minum air dari sungai (walaupun tentera Umaiyah pada mulanya menyekat tentera Imam Ali r.a. dari minum dengan tujuan mencelakakan mereka).

Adakah ini merupakan perang saikologi yang sengaja dilakukan untuk memancing undi dan cara untuk memaksa masyarakat memilih pada sesuatu parti sahaja? Jika dilihat dari apa yang berlaku pada zaman Imam Ali Bin Abu Thalib r.a. , untuk bertempik semasa berperang sekali pun adalah ditegah kerana peperangan haruslah adil dan bukannya dengan menggunakan cara saikologi untuk menggalahkan pihak lawan (berbanding hari ini dengan cerita-cerita berat sebelah baik di akhbar-akhbar atau pada siaran televisyen saban hari dengan cara yang amat keterlaluan). Masyarakat kita pada hari ini tidak dilatih menggunakan akal fikiran selain dari diprogramkan untuk menjadi fanatik dan mengikut citarasa pihak tertentu sahaja.

Sebagai orang Islam, kita haruslah bersifat terbuka dan cuba berlaku adil kepada semua pihak kerana ‘Yang Betul Tidak Selamanya Betul’ dan ‘Yang Salah Tidak Selamanya Salah’ dimana kita hendaklah meletak sesuatu perkara itu sesuai pada tempatnya. Adakah agama Islam itu telah menjadi agenda politik atau adakah Islam itu penjadi tunggak perjuangan politik sebagaimana yang dilaungkan oleh semua pihak yang berkenaan? Ini adalah kerana sekiranya kesemua ini benar maka perkara sedemikian rupa tidak seharusnya berlaku. Bagi pandangan saya, perang poster setiap kali kempen pilihanraya diadakan untuk berlumba-lumba memancing undi adalah merupakan salah satu penjajahan minda dalam bentuk saikologi yang dinyatakan tadi dan pada yang sama adalah pembaziran sedangkan duit itu boleh digunakan bagi membantu penduduk miskin dan seribu satu macam perkara lain yang boleh mendatangkan faedah dipihak orang ramai.

PERIHAL LEMBU & ULAR SENDUK

Manusia pada hari ini banyak yang menuju kearah memilih parti sehingga ada yang menggelar parti ini parti merah, parti itu parti biru dan yang satu lagi parti hijau. Sekiranya seseorang mengenakan warna baju sama seperti warna parti lawan maka orang itu pun akan dianggap mewakili parti lawan atau musuh walaupun si pemakainya tidak berniat sedemikian. Adakah kita telah sama seperti lembu yang nampak warna merah akan menanduk? Persoalannya samada kita sebagai manusia yang dianugerahan akal dan fikiran oleh Allah s.w.t. telah sama seperti haiwan lembu atau mana-mana haiwan lain? Sedangkan ada kajian tertentu yang mengatakan bahawa lembu itu buta warna.

Adakah kita sama seperti ular senduk yang akan mengikut alunan muzik yang didendangkan sedangkan kajian yang mengatakan ular senduk sebenarkan tidak dapat mendengar dan hanya tertarik kepada hayunan seruling yang digerakkan? Adakah kita sebagai manusia tertarik kepada janji-janji yang memikat kalbu dan bukannya alunan kebenaran yang boleh kita dakap sekiranya kita menggunakan akal fikiran kita (dan hanya dengan Rahmat Bimbingan serta Panduan dariNya kerana ada perkara yang tidak boleh dicapai dengan mengunakan akal kita semata-mata)?

PERIHAL KERAKUSAN

Adakah haiwan buas seperti singa, harimau dan lain-lainnya rakus? Walau binatang bagaimana buas sekali pun akan berhenti makan apabila telah kenyang tapi kebanyakan manusia hari ini tidak pernah berasa puas walaupun telah menghimpun perbagai kekayaan yang bersifat sementara. Dimana letaknya taraf dan maruah manusia berbanding haiwan sekiranya haiwan tidak pernah melanggar fitrahnya sebagaimana yang diJadikan dan diTetapkan oleh Allah s.w.t. ?

Berlebih-lebih lagi kita yang mengaku diri kita sebagai umat Islam saling bersengketa antara satu dengan yang lain atas nama parti dan calon (tidak atas nama Allah s.w.t.) malah ada yang sanggup bunuh membunuh sesama Islam demi mempertahankan parti atau calon mereka. Pernahkah kita meletakkan Allah s.w.t. di atas segala tindak tanduk kita? Pernahkah kita meletak Allah s.w.t. mengatasi segala bentuk pemikiran serta tingkah laku kita sehingga ia boleh membentuk keperibadian diri kita?

MISTERI WAJAH ‘MASJID KRISTAL’

Saya tidak ingin mengulas panjang tentang kisah ‘Misteri Wajah Masjid Kristal’ yang diperkatan ramai orang masa kini dan digembar-gemburkan semasa ‘Kempen Pilihanraya ke-12’ ini.

Sekiranya ianyanya berlaku (sekiranya tidak direka) maka semua umat Islam harus mengambil iktibarnya akan akan apa yang Tuhan ingin sampaikan bagi ingatan kita sepanjang masa dan bukan hanya bagi tempoh masa pilihanraya semata-semata sebagai modal mahupun sebagai isu politik.

DEMONSTRASI JALANAN

Kita mempersoalkan ‘Budaya Siapa’ akan ‘Demontrasi Jalanan’ tapi pernahkah kita terfikir untuk bertanyakan pada diri kita kembali bahawa ada kemungkinan itu ialah budaya bagi orang-orang yang tertindas dan tidak terbela nasib mereka? Benarkan ada saluran bagi menyuarakan pendapat sekiranya saluran-saluran itu hanya wujud pada nama sahaja, sebagaimana yang berlaku pada masyarakat Pulau Duyung hari ini? Dimanakah perginya ketelusan budi pekerti tinggi pemimpin-pemimpin dahulu berbanding pemimpin-pemimpin hari ini sekiranya suara-suara rakyat tidak diendah atau diperdulikan walaupun telahdisampaikan pada peringkat paling tertinggi di Kerajaan Negeri Terengganu?

Saya secara peribadi tidak mengalakkan demontrasi seumpama ini dan amat-amat menyeru titik pertemuan antara pihak yang memerintah untuk ikhlas menimbangkan secara adil dan saksama pengaduan yang dikatakan sebagai nyamuk-nyamuk agar terbela nasib rakyat yang kecil-kecil dan dipihak yang mengadakan demonstrasi jalanan pula hendaklah memberi ruang-ruang untuk berbincang bagi mencapai kata sepakat ke arah kebaikan semua pihak.

MEMBINA TAMADUN

Persoalan yang ingin saya timbulkan disini ialah kemana hala tujuan pembangunan di Negeri Terengganu melalui program ‘Wilayah Ekonomi Pantai Timur’ sekiranya tidak di-imbangi dengan pembangunan masyarakat dalam konsep membina tamadun? Adakah orang Islam Terengganu akan menjadi seperti Pak Kadok ‘Ayam Menang Kampung Tergadai’ yakni Terengganu Membangun dengan prasarana-prasarana keunggulan akhir zaman tetapi kelak dimiliki oleh orang-orang bukan Islam dan orang-orang berkulit melayu luaran? Sekiranya kita menghala ke arah itu maka orang-orang Islam di Negeri Terengganu haruslah mempersiapkan diri untuk tinggal di belakang tembok sebagaimana di Palestin mahupun di negara kita sekali pun seperti yang berlaku di Pulau Pinang.

Kejadian yang menimpa penduduk Pulau Duyung hari ini boleh dijadikan antara contoh yang terbaik namun setakat yang saya ketahui tiada lagi penduduk Pulau Duyung yang merusuh atau melakukan demonstrasi sehingga kehari ini walaupun maruah mereka di-injak-injak serta dipelekehkan. Saya menyeru rakyat Negeri Terengganu untuk bersatu-padu sepanjang masa menentang apa-apa kemungkaran di bumi Negeri Terengganu atas nama Allah s.w.t. kerana apa yang berlaku di Pulau Duyung hari ini tidak mustahil untuk belaku juga di tempat-tempat lain di Negeri Terengganu seperti di Kuala Berang, Pulau Manis, Bukit Bayas, Paloh, Chabang, Losong dan lain-lain tempat dimana Islam kuat bertapak pada suatu hari kelak (angkara tangan-tangan lahap) sekiranya tidak dibendung.

ISLAM TIDAK LAGI SESUAI?

Ajaran yang dibawa oleh Islam itu adalah yang sebaik-baiknya namun kebanyakan masyarakat menolaknya dalam sedar atau tidak sedar. Sebagai contoh, kebanyakan para perniaga kita mengatakan bahawa dalam menjalankan perniagaan dunia hari ini mereka tidak dapat menjalankan sebagaimana cara yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. kerana perniagaan mereka akan rugi. Maka ramailah perniaga melayu yang ikut rasmi perniaga bukan melayu di negara ini, kena tipu sikit-sikit (tapi banyak dari yang sikit). Maka berlakulah banyak penipuan dan kecurangan dalam dunia perniagaan kerana ingin lekas kaya dan rakyat menjadi mangsa. Dari hasil keuntungan itu diberi pula kepada anak-anak mereka untuk mereka makan.

Sedangkan kalau kita kaji corak perniagaan yang tertinggi diperingkat dunia dari kalangan syarikat-syarikat terkemuka (kebanyakan bukan Islam), sebenarnya adalah Islam. Syarikat-syarikat seperti daripada Switzerland, Germany, Britain, Holland dan seumpamanya ini kalau membuat janji masa mereka tepati, dalam menjalankan urusan wang mereka amanah, dalam mentadbir mereka lancar dan berkesan, dalam segala urusan lain mereka tidak ceroboh atau berlaku zalim dan mereka juga tidak membalikkan janji asal mereka. Cuma yang mereka panggil perlakuan tersebut sebagai etika manakala dalam Islam pula kita menyebutnya sebagai akhlak sungguh pun nilaian ahklak itu sebenarnya adalah jauh lebih tinggi dan menyeluruh berbanding dengan etika.

Sekiranya orang bukan Islam dikata beretika, dimana letaknya akhlak orang Islam yang seharusnya lebih tinggi budi pekertinya? Persoalannya adakah kita sebagai umat Islam benar-benar ikhlas dalam menjalankan kesemua perintah Allah s.w.t. ? Dalam kekalutan yang berlaku dalam dunia Islam hari ini, timbul pula pihak yang mengambil cuma sebahagian sahaja daripada hukum Allah s.w.t. lalu gabungkan di bawah satu konsep lalu diajaknya kuda-kuda dari seluruh pelusuk dunia untuk berlari bersama.

KISAH PELAYARAN MUNSYI ABDULLAH

Munsyi Abdullah pernah menulis tentang masyarakat Terengganu suatu ketika dahulu mengatakan bahawa orang lelaki melayu sangat malas dan hanya duduk-duduk di pasar sahaja manakala kaum wanita pula yang bekerja menjalankan perniagaan. Setelah beliau selideki barulah beliau tahu sebab-sebab mengapa ianya jadi begitu yakni pemerintah ketika itu zalim dan suka merampas harta benda rakyat bilamana mereka mempunyai harta. Maka rakyat lebih suka tidak berbuat apa-apa kerana kalau bekerja kuat sekali pun tiada guna kerana harta mereka akan dirampas.

Daripada zaman dahulu lagi, rakyat Terengganu merupakan orang-orang yang pandai malah ramai dikalangan mereka yang telah belayar ke seluruh pelusuk dunia. Sehinggalah ke hari ini masih ramai rakyat Terengganu yang pandai, cuma mereka telah berhijrah ke lain-lain negeri di Malaysia dan luar negara. Pernahkah kita bertanya kepada diri kita mengapa Negeri Terengganu dikatakan antara negeri yang termundur di Malaysia sedangkan negeri ini berada di bawah tampuk pemerintahan parti yang memerintah hari ini dan hanya tumbang ke parti lain dua pilihanraya yang sudah? Jika di Negeri Kelantan hari ini, kerajaan pembangkang sering dipersalahkan, jadi apa alasannya pula terhadap kemunduran masyarakat di Negeri Terengganu sedangkan pihak parti pembangkang tersebut hanya sempat menerajuinya pada masa yang singkat sahaja. Bagi pelancung asing, mungkin suatu yang menghairankan bagi sebuah negeri minyak, tidak mempunyai infrasruktur-infrastruktur sebagaimana lazimnya terdapat di negara minyak yang lainnya.

Perancangan ‘Wilayah Ekonomi Pantai Timur’ seharusnya telah berlaku di Negeri Terengganu dua puluh tahun yang lalu. Sebagaimana pihak British yang mahu orang-orang melayu untuk duduk berdiam diri sahaja sementara mereka mengaut keuntungan diwaktu itu seakan-akan berlaku di Negeri Terengganu. Sekiranya di Brunei, rakyatnya memperolehi perbagai faedah hasil daripada hasil minyak sementara rakyat Terengganu baru-baru ini hanya diminta untuk bersyukur dengan apa yang mereka ada kerana keadaan mereka tidak sebagaimana di Darfur. Sememang kita dapat melihat dan mengakui bahawa rakyat Darfur itu hidup susah dan menderita namun apa guna ada pembangunan dan hasil kekayaan bumi Terengganu sekiranya rakyatnya sendiri tidak dapat menumpang kesenangan bersama? Mengapa pula rakyat harus membayar tiket untuk masuk ke ‘Taman Ape Ke Name Nye’ sekiranya projek tersebut dikatakan dibelanjakan hasil dari duit rakyat yang mana nilaiannya tidak langsung menghampiri nilai ‘Royalti Minyak Terengganu’ yang dikatakan berjumlah sebanyak RM6 billion yang isu mengenainya masih lagi samar-samar hingga ke hari ini atau adakah ianya sebagai isu untuk dilupakan?

Kebanyakan rakyat juga kecewa kerana kertas-kertas kerja mereka dicetak rompak manakala dijalankan pula oleh pihak-pihak lain yang berkenaan demi kepentingan ekonomi dan politik peribadi mereka. Pekerjaan di jabatan-jabatan negeri untuk mentadbir seluruh Negeri Terengganu diutamakan kepada kroni serta sanak saudara dengan mengenepikan mereka yang lebih berkelayakan. Begitu juga bersangkutan dengan penganugerahan projek serta tender serta peluang perniagaan sekecil-kecilnya di pasar-pasar malam kebanyakan diberikan kepada orang kampung kita. Rakyat Terengganu tidak bodoh dan tidak pula malas, cuma mereka perlu mendapat bimbingan, tunjuk ajar serta modal dan sekiranya pemimpin-pemimpin hari ini sanggup turun dari puncak kayangan ke sumur yang berlumpur dalam tempoh lima tahun penuh dan bukan dalam tempoh masa pilihanraya sahaja (yang mana tentera-tentera mereka yang terdiri daripada anak-anak budu pun akan turut turun sekali).

ASHABUL KAHFI

Dengan pepecahan dan perbalahan dalam pencarian kuasa (diantara umat Islam), penindasan dan ketidak adilan sosial (seperti api yang membakar dalam sekam) sebagaimana yang berlaku pada hari ini di Terengganu khasnya dan di Malaysia atau di dunia umumnya, mahu saja saya lari masuk ke dalam gua sebagaimana pemuda-pemuda yang lari masuk ke dalam gua dan ditidurkan oleh Allah s.w.t. selama 309 tahun yang telah diriwayatkan dalam Surah Al-Kahfi.

Tafsir ayat 10 Surah Al-Kahfi:

“(Ingatlah) tatkala pemuda-pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua lalu mereka berdo’a: “Wahai Tuhan kami berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)”

(QS al-Kahfi:10)


KESILAPAN BAHASA ATAU CETUSAN HATI

Bilamana ada dikalangan pemimpin yang mengatakan ‘Parti ... Abadi Selamanya’ maka haruslah ia beristighfar banyak-banyak kerana sesungguhnya yang Abadi dan yang Kekal itu hanyalah Allah s.w.t. Kerajaan Majapahit walau bagaimana kuat sekalipun suatu ketika dahulu, akhirnya tumbang dan begitu juga dengan tumbangnya Firaun serta mana-mana kaum yang angkuh terhadap Kekuasaan Allah s.w.t.

Dan bilamana ada pula pemimpin yang mengatakan rakyat bukan Islam adalah saudara kita harus ia berhati-hati kerana tidak ada sebarang kasih sayang antara orang Islam dan orang bukan beragama Islam sehinggalah mereka masuk Islam. Walau untuk jadi teman rapat sekalipun adalah ditegah agama. Tetapi ini tidaklah pula bermakna Islam tidak memelihara keharmonian antara lain-lain penganut malah turut memberikan ruang-ruang bergerak bebas dan keadilan dalam batas-batas yang ditetapkan.

Bilamana ada pemimpin yang mengatakan bahawa projek ini dia yang buat, projek itu dia yang buat, projek sana dia yang buat, projek situ dia yang buat, projek sinun dia yang buat maka haruslah dia memikirkan kembali siapa yang sebenar yang mengadakan kesemuanya. Kita sebagai makhluk yang lemah ‘tiada berdaya melainkan dengan KekuasaanNya’ dan hanya diberi kesempatan untuk menjalankan perintahNya. Adakah telah sama taraf kita dengan Allah s.w.t. yang mana kita membuat kenyataan bahawa kita yang mengadakannya semuanya dan tidak kita abadikan kesemuanya kepada Allah s.w.t. sebagai Empunya segalanya dan kita ini cuma pihak yang menjalankannya?

ANAKKU SAZALI

Allahyarham Tan Sri P.Ramlee adalah seorang insan seni yang memiliki jiwa serta nilai kemanusian yang tinggi. Bukan tujuan saya hendak mengagung-agungkan seseorang itu (selain dari Rasulullah s.a.w.) namun sekiranya cerita yang di-ilham itu datang dari Allah s.w.t. Tuhan Yang Maha Pencipta maka kita dapat mengambil sedikit sebanyak iktibar darinya walaupun dalam bentuk cerita beliau.

Antara filem-flemnya yang banyak itu, saya sering teringat akan filem ‘Anakku Sazali’ yang mengisahkan tentang seorang ayah yang telah membesarkan anaknya dengan penuh kasih sayang namun anak tersebut tidak mengikut rasmi si ayah walaupun memiliki bentuk paras dan fizikal yang sama (kedua-dua watak dilakonkan oleh P.Ramlee). Si ayah yang lahir dalam kemiskinan dan serba kekurangan itu memiliki jiwa seni serta nilai kemanusian yang tinggi sedangkan si anak yang lahir dalam kemewahan itu pula tidak mewarisi sifat-sifat si ayah malahan telah menjadi ketua penjahat yang terbesar di Singapura.

Begitulah lebih kurang ceritanya. Ramai pihak yang mengatakan kebanyakan cerita-cerita yang terdapat dalam filem-filem Allahyarham Tan Sri P.Ramlee banyak berlaku pada hari ini. Adakah benar andaian ini? Sama-samalah kita renungi.

AMANAT KEPADA ANAK-ANAK & SANAK SAUDARA TOK SYEIKH

Nyawa manusia ibarat embun diwaktu pagi, datang panas maka hilanglah ia. Oleh yang demikian, saya ingin meninggalkan pesan dan amanat saya sekiranya hilang saya dari pandangan dunia yang fana ini sesuai dengan firman Allah ‘Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada azab api neraka.’

Janganlah kita terlalu memandang kepada kilauan harta dunia sehingga kita lupa akan tujuan kita datang ke dunia ini (yakni sebagai Khalifah di muka bumi) dan jangan sekali-kali kita menyekutukan Allah s.w.t. dan kita tukarkan dengan apa-apa janji-janji akan kesenangan dunia. Dan jangan pula kita mudah takut akan ancaman akan kemiskinan akibat sekatan-sekatan politik (mana-mana pihak) sekiranya jalan yang kita harus kita tempohi itu berliku-liku kerana niat kita terhadap Allah s.w.t.

Kebanyakan diantara kita yang mengaku bahawa kita berketurunan daripada Syeikh Kadir Bukit Bayas & Tok Syeikh Duyung, namun ianya bukanlah untuk tujuan kita berbangga atau bermegah-megah selain dari kita mengambil iktibar daripada sejarah perjuangan mereka dan mencontohi mereka-mereka untuk beribadah serta memperhambakan diri terhadap Allah s.w.t. sebagaimana yang harus kita contohi terlebih dahulu ialah keperibadian Nabi Muhammad s.a.w. sebaik-baiknya insan dan KekasihNya. Ingatlah akan kita semua bahawa semua orang Islam itu adalah bersaudara dan berlumba-lumbalah kita semua dalam mengerjakan kebaikan demi mencari Keredhaan Allah s.w.t. semata-mata.

Saya juga ingin merakamkan perasaan terkilan saya kerana ada dikalangan sanak saudara yang mengaku dirinya sebagai berasal dari keluarga Tok Syeikh Duyung tetapi telah meruntuhkan pagar-pagar keagamaan yang terdapat di Pulau Duyung sementara didirikan pula kawat-kawat berduri atas alasan pembangunan atas nama ‘Monsoon Cup’. Di sini, saya ingin mengulangi sekali lagi bahawa masyarakat Pulau Duyung tidak menghalangi pembangunan sekiranya pembangunan tersebut selari dengan Islam dan sebagaimana dengan warisan (bukannya ‘Kelab Teluk Warisan’ bagi tujuan komersial dan tidak pernah di-istihar sebagai Resort Islam – Judi? Arak? Pelacuran? Larangan?) yang ditinggalkan oleh Tok Syeikh Duyung iaitu kearah pembangunan keagaamaan bagi melatih ulul-ulul albab (bukannya ‘Kelab Ulul-Albab’ dan bukannya dengan membunuh ‘ulul-ulul albab’ yang sedia ada) bagi membina Tamadun Islam (bukannya ‘Kota Tamadun Islam’ bagi tujuan pameran) kerana yang bertamadun itu adalah terletak kepada manusia dan bukan pada bangunan-bangunan mewah serta bangunan-bangunan pencakar langit. Manakala orang yang dikatakan bertamadun itu pula harus mempunyai ciri-ciri Islam dan bukan mengikut perspektif Barat serta Islam Sekular.

AMANAT KEPADA PENDUDUK PULAU DUYUNG & MASYARAKAT ORANG RAMAI

Perbaikilah diri masing-masing dan saling ingat-memperingati diantara satu dengan yang lain. Sekiranya terdapat perbalahan dan pertikaian, berbaliklah kepada Al-Quran (‘Petunjuk Sepanjang Zaman’) dan Sunnah Rasul. Kita tahu kematian bagi setiap orang adalah pasti dan akan sampai suatu ketika hari berbangkit yang mana setiap di antara kita akan dipersoalkan terhadap apa yang pernah kita kerjakan di dunia ini. Sekiranya kita benar-benar mempercayai serta beriman kepada Hari Akhirat, maka mengapakah kebanyakan kita masih berlaku tidak adil terhadap diri kita sendiri dan terhadap orang lain?

Apa sahaja usaha kita akan hanya menjadi sia-sia belaka sekiranya tidak berlandaskan terhadap iman kita terhadap Allah s.w.t. Kita telah memberi perakuan bahawa tiada Tuhan selain dari Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai RasulNya dan juga setiap kali didalam sembahyang, kita juga telah memberi perakuan bahawa Hidup dan Mati kita Hanyalah untuk Allah s.w.t. Mengapa harus kebanyakan kita bersifat dayus serta munafik dan lari lintang-pukang apabila mendengar guruh di langit? Mengapa ramai dikalangan kita memakan bangkai saudaranya sendiri dengan tidak berlaku adil sesama sendiri?

Bagi pengetahuan penduduk Pulau Duyung, ada pihak berpengaruh yang mengatakan penduduk Pulau Duyung merasa iri hati kerana mereka tidak dapat melibatkan diri dalam pembangunan Pulau Duyung tapi adakah perkara ini benar? Setahu saya tidak ada lagi dari kalangan masyarakat Pulau Duyung yang mengejar projek-projek ‘sure’ heboh demi meraih keuntungan dan menjual maruah mereka ditempat tanah tumpah darah kelahiran mereka sendiri. Penduduk Pulau Duyung tidak tamak dan tidak berkehendak selain apa yang diKehendaki olehNya yang sesuai dengan tuntutan agama iaitu berpihak kepada kebenaran. Setiap manusia adalah lemah dan kekuatan hanya boleh dihimpun dengan adanya perpaduan ummah atas dasar taqwa serta keimanan dan bukannya atas dasar parti atau calon.

Bagi makluman penduduk Pulau Duyung yang tinggal di tanah warisan Tok Syeikh Duyung sejak ber-generasi lamanya (sejak dari zaman Tok Syeikh Duyung lagi) bahawa pewaris tanah Tok Syeikh Duyung tidak akan bertanggungjawab ke atas apa bentuk pampasan terhadap rumah yang dibina mereka pada tanah-tanah tersebut sekiranya penduduk dipindahkan atas kehendak mereka yang berwajib. Selama berzaman lamanya (daripada datuk nenek mereka yang datang untuk belajar agama dengan Tok Syeikh Duyung serta keturunannya), mereka tinggal di atas tanah tersebut tanpa dikenakan sebarang sewa hingga ke hari ini. Setahu saya tidak ada mana-mana tempat lain di Malaysia atau di dunia sekali pun yang berbuat demikian.

Namun yang demikian, saya bagi pihak keluarga Tok Syeikh Duyung tetap berterima kasih di atas semua bentuk kerjasama yang diberikan lahir dari perasaan kasih dan sayang pada ikatan persaudaraan sesama Islam. Segala usaha saling bantu membantu antara satu sama lain yang ditunjukkan selama ini adalah amat dihargai oleh pihak keluarga Tok Syeikh Duyung.

AMANAT KEPADA PEMIMPIN-PEMIMPIN & KETUA-KETUA PEMIMPIN

Kita yang mana telah diberikan kesempatan oleh Allah s.w.t. untuk menjadi pemimpin hendaklah menjalankan tanggungjawab dengan jujur dan amanah. Jangan mempolitikan agama selain Islam itu sebagai tunggak falsafah politik (yakni sebagai Ad-Din) dan duduk paling utama di atas perjuangan politik yang kita perjuangkan. Adakah kita pada hari ini ialah Orang Melayu yang beragama Islam ataupun Orang Islam yang berbangsa Melayu (Cina, India atau lain-lain)? Cuba kita renungkan kata-kata ini. Janganlah kita sekali-kali mempergelapkan cahaya keimanan (tog’hut) yang telah diterangi oleh Allah s.w.t. melalui Rasullah s.a.w. Pangkat dan kuasa yang kita sandang itu hanya ibarat mata pisau dileher kita sendiri di akhirat kelak. Masih ramai lagi dikalangan rakyat kita yang hidup susah dan menderita (walaupun tidak seperti di Garfur atau lain-lain tempat miskin tegar di dunia) namun wajib kita bantu dan tolong agar mereka tidak menjadi kufur atau murtad kelak.

Saya amat berharap pihak kerajaan dengan tidak mengira dari parti mana sekali pun untuk menimbangkan semula pembangunan yang berlaku di Pulau Duyung pada masa-masa kehadapan. Saya ingin merakamkan perasaan duka-cita saya terhadap apa yang berlaku selama empat tahun kebelakangan ini kerana pihak berwajib begitu tega melakukan sekehendak mereka sendiri tanpa mengambil kira pemikiran dan perasaan masyarakat Pulau Duyung dan keluarga berketurunan daripada Tok Syeikh Duyung. Mereka mengatakan bahawa diri mereka menjalankan tanggungjawab yang di ‘Amanahkan Oleh Rakyat Untuk Rakyat’ langsung tidak sensitif dan peka terhadap sejarah keagamaan Islam dan warisan Tok Syeikh Duyung selama ini. Sekiranya ada pihak yang mengatakan bahawa prinsip ‘Islam Hadhari’ memperjuangkan suara minoriti mengapa pula ada yang kata rintihan suara rakyat itu dianggap sebagai suara nyamuk? Maka jadilah orang-orang ini sebagai orang-orang yang tidak berprinsip walaupun pada prinsip yang mereka gubah sendiri seperti irama dan lagu yang dipisahkan.

Sekiranya dipihak masing-masing yang memperakui diri mereka sebagai memperjuangkan Islam, harus mereka menyedari bahawa perjuangan untuk menegakkan Islam masih panjang dan kita harus mencontohi pemimpin-pemimpin terdahulu pasca Kemerdekaan 1957. Ketika itu negara baru sahaja hendak membangun maka tiada apa (kekayaan) yang hendak direbutkan dan hanya setakat keinginan menabur jasa bakti untuk membangunkan sebuah negara yang telah hancur hasil dari penjajahan (ibarat kota Hiroshima dan Nagasaki yang telah dihancurkan dengan ledakan bom atom). Pemimpin-pemimpin yang berjuang pada zaman dahulu benar-benar berjuang ke arah membangunkan negara dan tidak mempunyai agenda tersendiri.

Tidak ingatkah kita akan sejarah Perang Uhud dimana orang-orang Islam yang hampir sahaja memenangi peperangan tetapi menemui kekalahan kerana kebanyakan di antara tentera Islam sibuk berebutkan harta kekayaan dan lupa akan perjuangan mereka yang sebenarnya?

Jangan sesekali kita terjebak dalam keinginan memenuhi nafsu serakah kita (untuk hidup mewah tujuh keturunan) atas keringat dan airmata rakyat kerana ‘hidup kita adalah bagi menfaat orang lain’.

AKHIR KATA

Saya tidak gentar dan telah bersedia untuk menerima ketentuan Allah s.w.t. terhadap masa depan Pulau Duyung. Saya juga ingin menasihati serta menyeru anak-anak saya, sanak saudara yang berketurunan daripada Tok Syeikh Duyung, penduduk Pulau Duyung serta orang ramai agar tidak perlu berdemonstrasi atau menimbulkan huru-hara kerana jika sekiranya Pulau Duyung dan Negeri Terengganu ini bumi yang bertuah, semoga ia di Lindungi Allah s.w.t.

Saya cuma teringat akan doa Abdul Mutthalib ketika Abrahah dan tentera bergajahnya datang hendak menghancurkan Ka’abah lalu diHancurkan oleh Allah s.w.t. dengan menghantar pasukan burung-burung Ababil. Abdul Mutthalib telah bermohon (sebagaimana saya turut bermohon) “Ya Tuhan, tiap orang mempertahankan rumahnya, oleh karena itu pertahankanlah RumahMu (BumiMu ini) !”