01 March, 2008

AMANAT KEPADA ANAK-ANAK & SANAK SAUDARA TOK SYEIKH

Nyawa manusia ibarat embun diwaktu pagi, datang panas maka hilanglah ia. Oleh yang demikian, saya ingin meninggalkan pesan dan amanat saya sekiranya hilang saya dari pandangan dunia yang fana ini sesuai dengan firman Allah ‘Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada azab api neraka.’

Janganlah kita terlalu memandang kepada kilauan harta dunia sehingga kita lupa akan tujuan kita datang ke dunia ini (yakni sebagai Khalifah di muka bumi) dan jangan sekali-kali kita menyekutukan Allah s.w.t. dan kita tukarkan dengan apa-apa janji-janji akan kesenangan dunia. Dan jangan pula kita mudah takut akan ancaman akan kemiskinan akibat sekatan-sekatan politik (mana-mana pihak) sekiranya jalan yang kita harus kita tempohi itu berliku-liku kerana niat kita terhadap Allah s.w.t.

Kebanyakan diantara kita yang mengaku bahawa kita berketurunan daripada Syeikh Kadir Bukit Bayas & Tok Syeikh Duyung, namun ianya bukanlah untuk tujuan kita berbangga atau bermegah-megah selain dari kita mengambil iktibar daripada sejarah perjuangan mereka dan mencontohi mereka-mereka untuk beribadah serta memperhambakan diri terhadap Allah s.w.t. sebagaimana yang harus kita contohi terlebih dahulu ialah keperibadian Nabi Muhammad s.a.w. sebaik-baiknya insan dan KekasihNya. Ingatlah akan kita semua bahawa semua orang Islam itu adalah bersaudara dan berlumba-lumbalah kita semua dalam mengerjakan kebaikan demi mencari Keredhaan Allah s.w.t. semata-mata.

Saya juga ingin merakamkan perasaan terkilan saya kerana ada dikalangan sanak saudara yang mengaku dirinya sebagai berasal dari keluarga Tok Syeikh Duyung tetapi telah meruntuhkan pagar-pagar keagamaan yang terdapat di Pulau Duyung sementara didirikan pula kawat-kawat berduri atas alasan pembangunan atas nama ‘Monsoon Cup’. Di sini, saya ingin mengulangi sekali lagi bahawa masyarakat Pulau Duyung tidak menghalangi pembangunan sekiranya pembangunan tersebut selari dengan Islam dan sebagaimana dengan warisan (bukannya ‘Kelab Teluk Warisan’ bagi tujuan komersial dan tidak pernah di-istihar sebagai Resort Islam – Judi? Arak? Pelacuran? Larangan?) yang ditinggalkan oleh Tok Syeikh Duyung iaitu kearah pembangunan keagaamaan bagi melatih ulul-ulul albab (bukannya ‘Kelab Ulul-Albab’ dan bukannya dengan membunuh ‘ulul-ulul albab’ yang sedia ada) bagi membina Tamadun Islam (bukannya ‘Kota Tamadun Islam’ bagi tujuan pameran) kerana yang bertamadun itu adalah terletak kepada manusia dan bukan pada bangunan-bangunan mewah serta bangunan-bangunan pencakar langit. Manakala orang yang dikatakan bertamadun itu pula harus mempunyai ciri-ciri Islam dan bukan mengikut perspektif Barat serta Islam Sekular.

No comments: