01 March, 2008

AMANAT KEPADA PEMIMPIN-PEMIMPIN & KETUA-KETUA PEMIMPIN

Kita yang mana telah diberikan kesempatan oleh Allah s.w.t. untuk menjadi pemimpin hendaklah menjalankan tanggungjawab dengan jujur dan amanah. Jangan mempolitikan agama selain Islam itu sebagai tunggak falsafah politik (yakni sebagai Ad-Din) dan duduk paling utama di atas perjuangan politik yang kita perjuangkan. Adakah kita pada hari ini ialah Orang Melayu yang beragama Islam ataupun Orang Islam yang berbangsa Melayu (Cina, India atau lain-lain)? Cuba kita renungkan kata-kata ini. Janganlah kita sekali-kali mempergelapkan cahaya keimanan (tog’hut) yang telah diterangi oleh Allah s.w.t. melalui Rasullah s.a.w. Pangkat dan kuasa yang kita sandang itu hanya ibarat mata pisau dileher kita sendiri di akhirat kelak. Masih ramai lagi dikalangan rakyat kita yang hidup susah dan menderita (walaupun tidak seperti di Garfur atau lain-lain tempat miskin tegar di dunia) namun wajib kita bantu dan tolong agar mereka tidak menjadi kufur atau murtad kelak.

Saya amat berharap pihak kerajaan dengan tidak mengira dari parti mana sekali pun untuk menimbangkan semula pembangunan yang berlaku di Pulau Duyung pada masa-masa kehadapan. Saya ingin merakamkan perasaan duka-cita saya terhadap apa yang berlaku selama empat tahun kebelakangan ini kerana pihak berwajib begitu tega melakukan sekehendak mereka sendiri tanpa mengambil kira pemikiran dan perasaan masyarakat Pulau Duyung dan keluarga berketurunan daripada Tok Syeikh Duyung. Mereka mengatakan bahawa diri mereka menjalankan tanggungjawab yang di ‘Amanahkan Oleh Rakyat Untuk Rakyat’ langsung tidak sensitif dan peka terhadap sejarah keagamaan Islam dan warisan Tok Syeikh Duyung selama ini. Sekiranya ada pihak yang mengatakan bahawa prinsip ‘Islam Hadhari’ memperjuangkan suara minoriti mengapa pula ada yang kata rintihan suara rakyat itu dianggap sebagai suara nyamuk? Maka jadilah orang-orang ini sebagai orang-orang yang tidak berprinsip walaupun pada prinsip yang mereka gubah sendiri seperti irama dan lagu yang dipisahkan.

Sekiranya dipihak masing-masing yang memperakui diri mereka sebagai memperjuangkan Islam, harus mereka menyedari bahawa perjuangan untuk menegakkan Islam masih panjang dan kita harus mencontohi pemimpin-pemimpin terdahulu pasca Kemerdekaan 1957. Ketika itu negara baru sahaja hendak membangun maka tiada apa (kekayaan) yang hendak direbutkan dan hanya setakat keinginan menabur jasa bakti untuk membangunkan sebuah negara yang telah hancur hasil dari penjajahan (ibarat kota Hiroshima dan Nagasaki yang telah dihancurkan dengan ledakan bom atom). Pemimpin-pemimpin yang berjuang pada zaman dahulu benar-benar berjuang ke arah membangunkan negara dan tidak mempunyai agenda tersendiri.

Tidak ingatkah kita akan sejarah Perang Uhud dimana orang-orang Islam yang hampir sahaja memenangi peperangan tetapi menemui kekalahan kerana kebanyakan di antara tentera Islam sibuk berebutkan harta kekayaan dan lupa akan perjuangan mereka yang sebenarnya?

Jangan sesekali kita terjebak dalam keinginan memenuhi nafsu serakah kita (untuk hidup mewah tujuh keturunan) atas keringat dan airmata rakyat kerana ‘hidup kita adalah bagi menfaat orang lain’.

No comments: