01 March, 2008

KISAH PELAYARAN MUNSYI ABDULLAH

Munsyi Abdullah pernah menulis tentang masyarakat Terengganu suatu ketika dahulu mengatakan bahawa orang lelaki melayu sangat malas dan hanya duduk-duduk di pasar sahaja manakala kaum wanita pula yang bekerja menjalankan perniagaan. Setelah beliau selideki barulah beliau tahu sebab-sebab mengapa ianya jadi begitu yakni pemerintah ketika itu zalim dan suka merampas harta benda rakyat bilamana mereka mempunyai harta. Maka rakyat lebih suka tidak berbuat apa-apa kerana kalau bekerja kuat sekali pun tiada guna kerana harta mereka akan dirampas.

Daripada zaman dahulu lagi, rakyat Terengganu merupakan orang-orang yang pandai malah ramai dikalangan mereka yang telah belayar ke seluruh pelusuk dunia. Sehinggalah ke hari ini masih ramai rakyat Terengganu yang pandai, cuma mereka telah berhijrah ke lain-lain negeri di Malaysia dan luar negara. Pernahkah kita bertanya kepada diri kita mengapa Negeri Terengganu dikatakan antara negeri yang termundur di Malaysia sedangkan negeri ini berada di bawah tampuk pemerintahan parti yang memerintah hari ini dan hanya tumbang ke parti lain dua pilihanraya yang sudah? Jika di Negeri Kelantan hari ini, kerajaan pembangkang sering dipersalahkan, jadi apa alasannya pula terhadap kemunduran masyarakat di Negeri Terengganu sedangkan pihak parti pembangkang tersebut hanya sempat menerajuinya pada masa yang singkat sahaja. Bagi pelancung asing, mungkin suatu yang menghairankan bagi sebuah negeri minyak, tidak mempunyai infrasruktur-infrastruktur sebagaimana lazimnya terdapat di negara minyak yang lainnya.

Perancangan ‘Wilayah Ekonomi Pantai Timur’ seharusnya telah berlaku di Negeri Terengganu dua puluh tahun yang lalu. Sebagaimana pihak British yang mahu orang-orang melayu untuk duduk berdiam diri sahaja sementara mereka mengaut keuntungan diwaktu itu seakan-akan berlaku di Negeri Terengganu. Sekiranya di Brunei, rakyatnya memperolehi perbagai faedah hasil daripada hasil minyak sementara rakyat Terengganu baru-baru ini hanya diminta untuk bersyukur dengan apa yang mereka ada kerana keadaan mereka tidak sebagaimana di Darfur. Sememang kita dapat melihat dan mengakui bahawa rakyat Darfur itu hidup susah dan menderita namun apa guna ada pembangunan dan hasil kekayaan bumi Terengganu sekiranya rakyatnya sendiri tidak dapat menumpang kesenangan bersama? Mengapa pula rakyat harus membayar tiket untuk masuk ke ‘Taman Ape Ke Name Nye’ sekiranya projek tersebut dikatakan dibelanjakan hasil dari duit rakyat yang mana nilaiannya tidak langsung menghampiri nilai ‘Royalti Minyak Terengganu’ yang dikatakan berjumlah sebanyak RM6 billion yang isu mengenainya masih lagi samar-samar hingga ke hari ini atau adakah ianya sebagai isu untuk dilupakan?

Kebanyakan rakyat juga kecewa kerana kertas-kertas kerja mereka dicetak rompak manakala dijalankan pula oleh pihak-pihak lain yang berkenaan demi kepentingan ekonomi dan politik peribadi mereka. Pekerjaan di jabatan-jabatan negeri untuk mentadbir seluruh Negeri Terengganu diutamakan kepada kroni serta sanak saudara dengan mengenepikan mereka yang lebih berkelayakan. Begitu juga bersangkutan dengan penganugerahan projek serta tender serta peluang perniagaan sekecil-kecilnya di pasar-pasar malam kebanyakan diberikan kepada orang kampung kita. Rakyat Terengganu tidak bodoh dan tidak pula malas, cuma mereka perlu mendapat bimbingan, tunjuk ajar serta modal dan sekiranya pemimpin-pemimpin hari ini sanggup turun dari puncak kayangan ke sumur yang berlumpur dalam tempoh lima tahun penuh dan bukan dalam tempoh masa pilihanraya sahaja (yang mana tentera-tentera mereka yang terdiri daripada anak-anak budu pun akan turut turun sekali).

1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum Cikgu. Saya bangga dengan Pulau Duyung, tempat terkenal dengan perusahaan membuat perahu Melayu - harap satu masa nanti berkesempatan melawat pembuat-pembuat perahu terkenal di sana.

Sebenarnya sampai ke sini waktu mencari tentang kisah Pelayaran Abdullah Munsyi - tak salah saya di Indonesia buku ini dijadikan buku teks peringkat kolej, tapi agak susah pula cari di Malaysia ni.