01 March, 2008

SAIKOLOGI

Rata-rata pada hari ini rakyat ditakut-takutkan dengan kemunduran dan kemiskinan yang akan berlaku sekiranya sesebuah negeri atau negara ini diperintah oleh parti pihak pembangkang. Persoalan kita, mengapakah perkara ini harus berlaku sekiranya wang dan peruntukan itu adalah hak rakyat maka seharusnyalah dikembalikan semula kepada rakyat walaupun apa parti lain sekali pun yang memerintah? Sekiranya tindak-tanduk kita benar dan ikhlas, tidak perlu lagi cara-cara menyekat bantuan atau pertolongan kepada mereka yang berhak walaupun orang itu dari parti yang dimusuhi kerana anak-anaknya yang mungkin masih kecil itu kebiasaannya tidak mungkin berfahaman apa-apa. Jadi mengapa pula ‘Marahkan Pijat Kelambu Pula Dibakar’?

Rasululullah s.a.w. sendiri sebagai contoh teladan yang terbaik tidak perlu memaksa orang bukan Islam untuk memeluk Islam namun berduyun-duyun orang telah masuk Islam kerana melihatkan akhlak serta keadilan yang telah ditunjukkan oleh Baginda s.a.w. Dalam Perang Shiffin, Imam Ali Bin Abu Thalib r.a. tetap telah berlaku adil terhadap tentera Umaiyah walaupun menjadi musuhnya dengan memberikan mereka minum air dari sungai (walaupun tentera Umaiyah pada mulanya menyekat tentera Imam Ali r.a. dari minum dengan tujuan mencelakakan mereka).

Adakah ini merupakan perang saikologi yang sengaja dilakukan untuk memancing undi dan cara untuk memaksa masyarakat memilih pada sesuatu parti sahaja? Jika dilihat dari apa yang berlaku pada zaman Imam Ali Bin Abu Thalib r.a. , untuk bertempik semasa berperang sekali pun adalah ditegah kerana peperangan haruslah adil dan bukannya dengan menggunakan cara saikologi untuk menggalahkan pihak lawan (berbanding hari ini dengan cerita-cerita berat sebelah baik di akhbar-akhbar atau pada siaran televisyen saban hari dengan cara yang amat keterlaluan). Masyarakat kita pada hari ini tidak dilatih menggunakan akal fikiran selain dari diprogramkan untuk menjadi fanatik dan mengikut citarasa pihak tertentu sahaja.

Sebagai orang Islam, kita haruslah bersifat terbuka dan cuba berlaku adil kepada semua pihak kerana ‘Yang Betul Tidak Selamanya Betul’ dan ‘Yang Salah Tidak Selamanya Salah’ dimana kita hendaklah meletak sesuatu perkara itu sesuai pada tempatnya. Adakah agama Islam itu telah menjadi agenda politik atau adakah Islam itu penjadi tunggak perjuangan politik sebagaimana yang dilaungkan oleh semua pihak yang berkenaan? Ini adalah kerana sekiranya kesemua ini benar maka perkara sedemikian rupa tidak seharusnya berlaku. Bagi pandangan saya, perang poster setiap kali kempen pilihanraya diadakan untuk berlumba-lumba memancing undi adalah merupakan salah satu penjajahan minda dalam bentuk saikologi yang dinyatakan tadi dan pada yang sama adalah pembaziran sedangkan duit itu boleh digunakan bagi membantu penduduk miskin dan seribu satu macam perkara lain yang boleh mendatangkan faedah dipihak orang ramai.

No comments: