01 March, 2008

SEJARAH WARISAN TOK SYEIKH DUYUNG

Nama sebenar Tok Syeikh Duyung ialah Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Muhamad Amin. Ayah beliau, Haji Wan Muhamad Amin bin Wan Yaakub, lebih akrab dipanggil Tok Syeikh Qadi, juga adalah seorang ulama asal Patani. Tok Syeikh Duyung telah dilahirkan di Kampung Chabang Tiga, Patani pada tahun 1802 Masihi. Ramai orang yang menyangkakan bahawa kedatangan para ulama dari Patani merupakan warga asing ke bumi Negeri Terengganu. Yang mereka tidak mengetahui ialah bahawa Negeri Terengganu itu sendiri adalah merupakan sebahagian daripada jajahan takluk Kerajaan Patani Purba sebelum kerajaan tersebut kalah dalam peperangan dengan Siam. Maka kedatangan ulama-ulama daripada Patani itu tak ubah ‘seperti keris yang pulang ke gagang’. Neng Rogayah umpamanya iaitu isteri kepada Sultan Zainal Abidin I adalah adik kepada Mas Chayam iaitu Raja kepada Kerajaan Patani Purba tersebut (ketika itu Rajanya perempuan).

Tok Syeikh Duyung mendapat pendidikan di dalam bidang Tasawuf, Hadith, Fiqh dan Usuluddin di Mekah dan Terengganu sendiri. Kemudian setelah tamat pengajian beliau telah mengajar di dalam bidang Fiqh, Hadith, Tafsir dan Tasawuf. Kerana tempat mengajarnya di Pulau Duyung, maka lama-kelamaan melekatlah namanya menjadi "Tok Syeikh Duyung". Pondoknya semakin lama semakin ramai didatangi pelajar, jauh dan dekat. Di antara murid-murid beliau yang terkenal ialah Baginda Omar, Sultan Zainal Abidin III, Engku Sayid Paloh, Haji Omar Duyung Besar, Haji Abdul Hamid Nerus, Tuan Baru Petal Bubus, Haji Musa Alim, Che Man Gudang, dan Haji Wan Mohammad bin Wan Abdullah, anaknya. Baginda Omar dan Sultan Zainal Abidin III sendiri pergi ke Duyung mempelajari ilmu agama kepada beliau dan bukan beliau dipanggil ke istana mengajar baginda. Ini ialah kerana sudah menjadi suatu perkara biasa bahawa adalah kewajipan murid mendapatkan guru dan bukan guru mencari murid.

Kerana ketokohannya, Tok Syeikh Duyung kemudiannya dilantik menjadi Mufti Kerajaan Negeri Terengganu menggantikan gurunya Syeikh Abdul Kadir Bukit Bayas yang meninggal dunia. (Syeikh Abdul Kadir Bukit Bayas mempunyai pertalian keluarga yang rapat dengan Tok Syeikh Duyung dan telah dilantik menjadi Mufti pertama Negeri Terengganu). Sepanjang hidupnya, Tok Syeikh Duyung sempat menjadi Mufti kepada tiga orang Sultan iaitu Baginda Sultan Omar, Sultan Ahmad Syah II dan Sultan Zainal Abidin III. Semasa menjadi Mufti, khidmatnya sebagai penasihat agama kepada Sultan sangat terserlah. Selain itu, pengaruhnya dalam bidang pentadbiran negeri Terengganu juga besar. Dalam hal mengeluarkan sesuatu hukum atau fatwa Tok Syeikh Duyung sentiasa berpandukan aI-Quran dan Hadis di samping merujuk kepada kitab-kitab agama yang masyhur.

Ketokohan beliau juga menyebabkan negeri Trengganu terkenal di seluruh Nusantara pada masa itu dan Pulau Duyung di gelar 'Lidah Negeri Terengganu'. Kerana pada masa itu Tok Syeikh Duyung merupakan tempat segala pertanyaan terakhir mengenai Hukum Syarak terutama mengenai Perundangan Islam. Pernah ulama-ulama dari Indonesia bertanya mengenai satu-satu hukum agama kepada beliau. Malah Engku Sayid Paloh yang menjadi muridnya yang disayangi tidak pernah mengenepikan gurunya terutama mengenai masalah Perundangan Islam.

Tok Syeikh Duyung juga merupakan guru agama yang sangat dihormati oleh Baginda Omar dan lebih-lebih lagi Sultan Zainal Abidin III. Bahkan kedua-dua orang sultan ini sentiasa mendampingi diri mereka dengan Tok Syeikh Duyung, terutama apabila beliau dilantik menjadi Mufti kepada baginda berdua. Sultan Zainal Abidin III telah mengurniakan gelaran "Syeikhul Ulama" (Ketua bagi orang-orang yang berilmu) kepadanya dan "Syeikhul Islam" (Ketua orang-orang Islam) kepada Engku Sayid Paloh.

Tok Syeikh Duyung telah meninggal dunia di rumahnya di Duyung Kecil pada 12 Jamadil Akhir 1306 Hijrah bersamaan Februari 1889. Baginda Sultan Zainal Abidin III telah berangkat sendiri ke Duyung Kecil menziarahi jenazah gurunya. Baginda sendiri telah turut bersembahyang jenazah dan memerintah supaya jenazah Tok Syeikh Duyung diusung dari Duyung Kecil melalui hadapan istana untuk diberi penghormatan terakhir oleh baginda, pembesar-pembesar negeri dan kerabat-kerabat diraja sebelum dikebumikan di tanah Perkuburan Syeikh Ibrahim, Kuala Terengganu. Kematiannya juga menyebabkan baginda sendiri merasa satu kehilangan kepada diri sendiri dan rakyat negeri Terengganu. Engku Sayid Paloh sendiri mengakui ketokohannya dan setelah mendapat berita kematiannya beliau mengeluh "Hilang sudah kepala santan (orang yang paling berilmu) Negeri Terengganu" dan terus berkejar ke Duyung Kecil.

Setelah beliau meninggal dunia, Berkat Kurnia Allah s.w.t. mereka-mereka yang berketurunan daripada Tok Syeikh Duyung meneruskan usaha beliau dan dilantik memegang jawatan Mufti. Mereka yang dimaksudkan ialah:-


1. Wan Muhammad bin Haji Wan Abdullah (anaknya) telah dilantik menjadi Mufti menggantikan beliau. Haji Wan Muhammad juga merupakan guru agama kepada Sultan Zainal Abidin III dantelah dikurniakan gelaran "Syeikhul Ulama" kemudiannya.

2. Wan Muhamad Salleh (Tidak sempat diberi gelaran apa-apa kerana meninggal dunia)

3. Wan Abdul Manan Bin Wan Yaacob (Dato’ Indera Guru)

No comments: