01 March, 2008

AMANAT KEPADA PENDUDUK PULAU DUYUNG & MASYARAKAT ORANG RAMAI

Perbaikilah diri masing-masing dan saling ingat-memperingati diantara satu dengan yang lain. Sekiranya terdapat perbalahan dan pertikaian, berbaliklah kepada Al-Quran (‘Petunjuk Sepanjang Zaman’) dan Sunnah Rasul. Kita tahu kematian bagi setiap orang adalah pasti dan akan sampai suatu ketika hari berbangkit yang mana setiap di antara kita akan dipersoalkan terhadap apa yang pernah kita kerjakan di dunia ini. Sekiranya kita benar-benar mempercayai serta beriman kepada Hari Akhirat, maka mengapakah kebanyakan kita masih berlaku tidak adil terhadap diri kita sendiri dan terhadap orang lain?

Apa sahaja usaha kita akan hanya menjadi sia-sia belaka sekiranya tidak berlandaskan terhadap iman kita terhadap Allah s.w.t. Kita telah memberi perakuan bahawa tiada Tuhan selain dari Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai RasulNya dan juga setiap kali didalam sembahyang, kita juga telah memberi perakuan bahawa Hidup dan Mati kita Hanyalah untuk Allah s.w.t. Mengapa harus kebanyakan kita bersifat dayus serta munafik dan lari lintang-pukang apabila mendengar guruh di langit? Mengapa ramai dikalangan kita memakan bangkai saudaranya sendiri dengan tidak berlaku adil sesama sendiri?

Bagi pengetahuan penduduk Pulau Duyung, ada pihak berpengaruh yang mengatakan penduduk Pulau Duyung merasa iri hati kerana mereka tidak dapat melibatkan diri dalam pembangunan Pulau Duyung tapi adakah perkara ini benar? Setahu saya tidak ada lagi dari kalangan masyarakat Pulau Duyung yang mengejar projek-projek ‘sure’ heboh demi meraih keuntungan dan menjual maruah mereka ditempat tanah tumpah darah kelahiran mereka sendiri. Penduduk Pulau Duyung tidak tamak dan tidak berkehendak selain apa yang diKehendaki olehNya yang sesuai dengan tuntutan agama iaitu berpihak kepada kebenaran. Setiap manusia adalah lemah dan kekuatan hanya boleh dihimpun dengan adanya perpaduan ummah atas dasar taqwa serta keimanan dan bukannya atas dasar parti atau calon.

Bagi makluman penduduk Pulau Duyung yang tinggal di tanah warisan Tok Syeikh Duyung sejak ber-generasi lamanya (sejak dari zaman Tok Syeikh Duyung lagi) bahawa pewaris tanah Tok Syeikh Duyung tidak akan bertanggungjawab ke atas apa bentuk pampasan terhadap rumah yang dibina mereka pada tanah-tanah tersebut sekiranya penduduk dipindahkan atas kehendak mereka yang berwajib. Selama berzaman lamanya (daripada datuk nenek mereka yang datang untuk belajar agama dengan Tok Syeikh Duyung serta keturunannya), mereka tinggal di atas tanah tersebut tanpa dikenakan sebarang sewa hingga ke hari ini. Setahu saya tidak ada mana-mana tempat lain di Malaysia atau di dunia sekali pun yang berbuat demikian.

Namun yang demikian, saya bagi pihak keluarga Tok Syeikh Duyung tetap berterima kasih di atas semua bentuk kerjasama yang diberikan lahir dari perasaan kasih dan sayang pada ikatan persaudaraan sesama Islam. Segala usaha saling bantu membantu antara satu sama lain yang ditunjukkan selama ini adalah amat dihargai oleh pihak keluarga Tok Syeikh Duyung.

No comments: