01 March, 2008

PENCEROBOHAN TERHADAP PULAU DUYUNG

Apa yang saya maksudkan dengan pencerobohan terhadap Pulau Duyung ialah belum ada sebelum ini dalam sejarah Pulau Duyung mana-mana pihak yang menjadikan Pulau Duyung tempat bersuka-suka selain ianya menjadi tempat pengajian agama Islam dan untuk tujuan berdakwah. Pencerobohan yang dinamakan sebagai pembangunan di bawah nama ‘Monsoon Cup’ dan ‘Kelab Teluk Warisan’ seolah-olah ingin menenggelamkan sejarah keagamaan warisan Tok Syeikh Duyung dan kesucian Pulau Duyung sebagai bumi di mana sejarah Islam bertapak kukuh. Adakah pihak Kerajaan Arab Saudi berkemungkinan mengambil langkah yang sama untuk mendirikan tempat bersuka-suka di tengah-tengah Kota Mekah ataupun Kota Madinah?

‘Tidak pernah terlintas, Tidak pernah temimpi, Mimpi Ngeri menjadi kenyataan’. Sejak zaman-berzaman lamanya daripada masa Tok Syeikh Duyung lagi, belum pernah ada mana-mana pihak yang menceroboh kesucian Pulau Duyung. Walaupun semasa penjajahan pihak Jepun dan British mahupun semasa zaman pihak Komunis (yang memburu talibarut Jepun) tidak pernah mereka mengapa-gapakan penduduk Pulau Duyung. Jadi betul kata seorang pemimpin tersohol tanahair yang mangatakan bahawa ia akan menjadikan Negeri Terengganu lain dari yang lain dan yang belum pernah terbayang oleh masyarakatnya. Dan tepat sekali kalau mereka kata ‘Kata di Kota, Janji Terlaksana’ sebab mereka telah berjaya memperlakukan Pulau Duyung sebagaimana yang tidak dapat dilakukan oleh pihak Jepun dan British mahupun oleh pihak Komunis sebelum ini.

Pada zaman kezaliman tentera Jepun, belum pernah ada mana-mana kaum lelakinya yang diambil dari Pulau Duyung untuk membina jalan kereta-api maut di Burma sebagaimana yang Jepun sewenang-wenang perlakukan kepada penduduk tempatan Negeri Terengganu dan tempat-tempat lain seluruh Malaya ketika itu. Malahan kaum wanita di Pulau Duyung juga tidak diganggu atau diusik oleh tentera Jepun yang sering dikatakan sebagai kaki perempuan yang sering menculik kaum wanita untuk dijadikan alat memuaskan nafsu mereka. Di bawah kuasa British juga masyarakat Pulau Duyung tidak diganggu gugat dan mereka bebas menjalani pengajian agama Islam dan kerja-kerja ibadah. Walau pada masa zaman keganasan tentera Komunis iaitu sejurus selepas Jepun kalah perang, penduduk Pulau Duyung tidak pernah diganggu. Komunis telah banyak memburu dan menangkap ramai rakyat tempatan Negeri Terengganu untuk dibicarakan dan dibunuh sekiranya mereka dapati salah ketika itu. Namun dalam keganasan tentera Komunis itu, Pulau Duyung tidak pernah diganggu dan masyarakatnya tidak diusik atau di apa-apakan.

Tercemar ialah nama baik dan maruah masyarakat Pulau Duyung yang selama ini hidup dalam keadaan aman damai. Biar pun sesetengah pihak yang mendakwa diri mereka menaikkan nama Pulau Duyung keseluruh dunia tetapi atas landasan apa? Penduduk Pulau Duyung tidak pernah menentang pembangunan asalkan pembangunan tersebut mencontohi warisan keagamaan dan bukannya ‘Kelab Teluk Warisan’. Sekiranya dapat, untuk dilaksanakan sebuah ‘Kota Tamadun Islam Duyung’ dimana dapat dibina pusat-pusat pengajian agama Islam, stadium terbuka dimana ayat-ayat suci Al-Quran dapat diperdengarkan dan berkumandang (sampai ke daerah-daerah berdekatan seperti di Tanjung, Pulau Kambing dll) di udara, pusat-pusat dakwah Islamiyah, Resort Islam tulen dan seribu satu macam lagi prasarana-prasarana yang bolehkan difikirkan oleh ulul-ulul kebab pemerintah hari ini dan bukannya ‘Kota Tamadun Islam’ untuk didirikan rumah-rumah Allah yang kecil molek untuk dipertontonkan dan yang mana hasilnya dikutip oleh pihak-pihak tertentu.

‘Kelab Teluk Warisan’ tidak pernah di-istiharkan oleh pihak kerajaan sebagai Resort Islam sekiranya mereka benar-benar berniat untuk menegakkan Islam yang mana pihak berwajib boleh mengenakan larangan terhadap judi, arak dan pelacuran. Mengapa penduduk tempatan Pulau Duyung langsung tidak dibenarkan untuk mendekati Resort tersebut sekiranya tiada apa untuk disembunyikan? Nama ‘Warisan’ yang digunakan tidak sesekali mencerminkan warisan keagamaan warisan Tok Syeikh Duyung kerana ianya hanya menjadi pusat komersial bagi menghibur warga asing di bawah nama ‘Monsoon Cup’.

Mungkin ramai masyarakat di Negeri Terengganu yang tidak mengetahui bahawa sejarah Pulau Wan Man pernah melalui sejarah gelap iaitu pada satu masa dahulunya dimana pulau tersebut telah menjadi tumpuan pesalah laku untuk membuang acak dan tempat tumpuan maksiat dimana pesalah laku membawa perempuan bagi tujuan tertentu mereka. Tempat itu pun tidak didiami orang kerana air yang akan melimpahi pulau tersebut pada masa-masa tertentu kecuali terdapat kebun buah-buahan oleh pemilek-pemileknya. Saya tidak hairan sekiranya akan ada pihak yang akan marah dari kata-kata saya ini namun ini adalah hakikatnya. Jadi apa yang berlaku pada hari ini boleh dikatakan orang Terengganu sebagai ‘Terbalik Hawa’ iaitu cerita sudah menjadi terbalik. Tempat yang peristiwa sejarahnya gelap dijadikan sebuah kota atas nama ‘Islam’ dan tempat dimana sejarah agama Islam kuat bertapak pula dijadikan sebagai tempat ‘bersuka-suka’ demi mengejar wang ringgit.

Saya tidak berasa hairan sekiranya berlaku pencerobohan di bumi Palestine kerana pesalah lakunya adalah orang bukan Islam yang tidak bertamadun tetapi ada diantara kita yang mengaku diri kita sebagai orang Islam tetapi berani mencerobohi sesama orang-orang Islam tapi pada masa yang sama takut kepada yang bukan Islam. Kita yang selama ini diperbudakkan tapi bukankah kini kita kembali untuk memperbudakkan? Kita yang sebelum ini ditindas tapi bukankah kita kini kembali untuk menindas? Kita yang selama ini dijajah tapi bukankah kini kita kembali sebagai penjajah? Kita yang selama ini menuduh orang mencuri tapi bukankah kita yang mencuri?

No comments: